Setiap Artikel Malaysiawaves ke Email Anda.

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Dipersilakan untuk Like Facebook Page T. Besi

Search Malaysiawaves

Thursday, February 4, 2010

UMNO Tidak Serang PAS Kerana UMNO Suka Keputusan JK Disiplin!!!

Kenyataan Tuan Ibrahim yang terbaru betajuk Bilamana UMNO Tidak Menyerang PAS...[Tuan Ibrahim Tuan Man] perlu saya ulas. Izinkan saya mengulasnya.

Sebelum saya memulakan hujjah saya, suka saya menjawab soalan Tuan Ibrahim tersebut. UMNO tidak menyerang PAS kerana keputusan JK Disiplin ini bersesuaian dengan kehendak dan citarasa UMNO.

Mana mungkin Syaitan berasa gembira sekiranya kita melakukan ibadah kepada Allah SWT. Apabila syaitan turut gembira setiap kali kita beribadah, bererti ada yang sangat salah berkenaan ibadah kita itu.
Itulah sebabnya UMNO tak komen apa-apa pasal keputusan JK Disiplin ini. Ia umpama ibadah yang disukai Syaitan.

TUAN IBRAHIM MARAH PADA ABDULLAH KARIM

Tuan Ibrahim menyatakan kemarahan yang sangat besar kepada Abdullah Karim atas kenyataan akhbar beliau. Tuan Ibrahim berkata:

“Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.”.

Saya tidak dapat mempercayai kenyataan Tuan Ibrahim ini kerana saya sendiri telah menghantar aduan kepada Tuan Ibrahim secara TERUS. Namun, sehingga hari ini tiada apa-apa respon dari Tuan Ibrahim pun menyatakan prosedur saya salah.

Malahan, laporan saya diberikan kepada SU JK Disiplin, Dr Supyan Husin, sendiri namun tiada teguran walau sedikit berkenaan dengan kesalahan dari segi prosedur.
Mengapa demikian?





SU AGUNG LEBIH BERKUASA DARI KETUA JK DISIPLIN?

Soalan saya yang seterusnya, mengapa aduan dalam masalaah Disiplin harus pergi ke Setiausaha Agung? Bukankah sepatutnya JK Disiplin itu BEBAS dari badan eksekutif? Peruntukan perlembagaan manakah yang menyatakan setiap aduan mesti melalui SU Agung?
Kalau Tuan Ibrahim hendak berkokok pasal prosedur, saya nak tanya dimanakah prosedur tersebut tertulis? Saya merujuk kepada Perlembagaan PAS dan prosedur yang disebut Tuan Ibrahim ini tidak wujud.

Kiranya PAS adalah parti yang professional, maka setiap prosedur mesti disahkan oleh badan eksekutif ( AJK PAS PUSAT) serta diletakkan di satu tempat dimana setiap ahli dapat melihat dan merujuk. Kiranya tiada tempat rujukan ertinya prosedur tersebut tidak sah. Itu adalah amalan biasa mana-mana organisasi sekalipun.

Cuba masuk mana-mana balai polis, dan anda akan melihat instruksi untuk membuat laporan dipaparkan di dinding Balai Polis tersebut. Ada buku rujukan prosedur yang digunakan secara meluas dan boleh dirujuk oleh sesiapa sahaja.

Dalam soal ini, prosedur apakah yang telah dirujuk Tuan Ibrahim Tuan Man?

BENARKAH HUKUMAN KHALID BERDASARKAN FAKTA KES?

Dato Tuan Ibrahim juga berkata:

“Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh.”

Baiklah, sekiranya ini benar, apakah fakta yang terkandung dalam tuduhan kedua Khalid Samad seperti dibawah:

“Bahawa kamu, Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, sebagai seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) No. 0126504 telah dengan secara salah, dengan sedar dan pengetahuan mendedahkan rahsia Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang bertarikh 27hb September 2009 jam 3.30 petang melalui Blog peribadi dan dengan itu kamu dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Fasal 75 (1)(e) Perlembagaan PAS dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Fasal 75 (5) Perlembagaan PAS”.”.

Tuduhan sahaja pun kita lihat tidak sah. Disebutkan Khalid mendedahkan rahsia parti, namun APAKAH RAHSIA PARTI YANG TELAH DIDEDAHKAN?

Tuduhan seperti ini adalah apa yang kita panggil sebagai “Tuduhan Tidak Lengkap”. Bagaimanakah Khalid Samad boleh diberikan tuduhan mendedahkan rahsia parti sedangkan RAHSIA ITU pun JK Disiplin tidak mampu sebutkan?

Umpama si X dituduh mencuri tapi barang yang dicuri tidak diberitahu. Hanya tuduhan si X mencuri. Bila ditanya apa yang X curi, dijawab TIDAK TAHU.

Ini kah fakta yang Tuan Ibrahim banggakan? Fakta tuduhan yang TIDAK LENGKAP? Atas tuduhan tidak lengkap inikah Khalid Samad digantung enam bulan?

Kalau di mahkamah, tuduhan seperti ini hanya akan menyebabkan kes tersebut dibuang. Bagaimanakah boleh dibuktikan Khalid mendedahkan rahsia parti sekiranya RAHSIA itu sendiri TIDAK WUJUD?

Ertinya Khalid telah mendedahkan sesuatu perkara yang TIDAK JELAS samada rahsia atau tidak.

Pihak pendakwa MESTI membuktikan terlebih dahulu APAKAH rahsia tersebut. Barulah tuduhan seperti ini boleh membawa kepada penghukuman.
Benarlah kata Bakaq @ Penarik Beca. Rahsia sebenar yang didedahkan Khalid Samad adalah ini .

Tidakkah Tuan Ibrahim sebenarnya telah melakukan satu pembohongan di sini?

Tulang Besi


Bilamana UMNO Tidak Menyerang PAS...[Tuan Ibrahim Tuan Man]
Oleh : Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid ( bukan menggantungnya ) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.

Dari blog Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man


9 comments:

jbmali said...

fuyooo .. ada drama laaa

cam nih laa dikatakan pejuang islam.
kalau si aduka taruna sibok ngan cerita dongeng novel dia.

caya laa

more.. more.. we want more

Anonymous said...

Suke Perpaduang.

Appa punya naib presiden niiiiiii. Takkan lah itu pun tak buleh pikiaq. Hari tun kan TV3 suku dah siarkan keputusan JK Disiplin sebagai berita utama,e soknya pun berita hairan siar front page. berita itu seolah mengambarkan kemenangan kepada proksi depa, hasang ali... tak kan itupun ust tak perasan...

Anonymous said...

SUMI YAKI

Ha ha, nak tergelak aku baca posting ustaz tuan. puas aku cuba untuk merasa sedikit kasihan pada beliau, namun gagal...... apa kan daya , lawaknya sangat ketara. ha ha ha

Apalah nasib ahli PAS bernaib presidenkan ustaz tuan. ku sangkakan hebat rupanya meleset. ku baca tajuknya saja sudah nak tergelak, beginikan mentaliti dan izzahnya pemimpin ummat masa akan datang... Daya pemikirannya lebih sedikit dari tantawi. Tantawi dulu tuduh prof Aziz Bari sebagai umno, akhirnya malu sendiri, lepas tu terhegeh hegeh jumpa balik, amik gambar kununya dah setel... sekarang ustaz tuan hakim ni nak tuduh Abdullah ni umno kaaaaaaa.. ishhhh kecik sungguh jiwa ust tuan hakim ni..... asal kena kritik je umno, kritik je tak wala`, kritik je tuduh anti tarbiah. kalu macam ni punya jiwa, baik mengajar dalam masjid dan surau ja. tak dak sapa nak kritik. ni dunia politik la ustaz, dunia mentadbir negara dan manusia. Mana boleh merajuk merajuk dan melatah.

Kalau Abdullah ni UMNO, kenapa dia tentang kerajaang perpaduang ni habis habisan. Saya pohon kepada ustaz Tuan Hakim, janganlah buat kenyataan yang memperkecilkan diri sendiri dan memperkecilkan pemikiran rakyat..... tolonglah

Anonymous said...

mende la lu merepek mokhtar

Anonymous said...

//baik mengajar dalam masjid dan surau ja.//
Siapa akan mendengar melodrama islam ketuanan melayu?Rakyat tak dak time utk ini semua..rakyat bukan lagi katak dibawah tempurung!

Anonymous said...

Kesian Tuan..luahan psikologi yang tak menjadi..kena balik..

Anonymous said...

Ana tak mahu generalized semua "ulamak" sebab ramai juga yang bijak,pandai berpolitik dan mentadbir.Tapi jenis Tuan Brahim,Hadi Awang,Tantawi,Bakar Chik dan Harun Taib ni,taraf mereka belum sampai ketahap yang boleh diterima sebagai "pemimpin".Kalau sekadar nak beri kuliah Magrib,itu boleh,tapi nak pegang jawatan Pengerusi JK Disiplin,atau pun Presiden mahu pun Pengerusi JK Perang Saraf - sudah salah orang.Heiran macam mana ahli-ahli PAS seluruh negara boleh "tak berfikir" adalkah suatu delima yang susah nak difikirkan.Dalam PAS ramai yang mengaji tinggi hingga keperingkat PHD.Apa mereka buat?Wala? Tak ada telor? Takut tak disenaraikan jadi calun? Tak mau menyusahkan jemaah?
Mursyidul Am telah pun kata,yang buat masaalah ni bukan ramai - 2-3 orang saje.Kalau 2-3 penyangak ni dah tak ada dalam PAS,selamatlah PAS.

daud said...

OK la setakat jadi naib kita tolerate. Nak pegi jauh memang susah kalau benda simple dan direct pun x boleh manage.. Bab lain kita respek.

angah said...

Tubuh Parti PAS Baru la. sebab semua pimpinan hok ada sekarang ni dah tak leh pakai. Kita bagi para bloger jadi pimpinan pulak. Ok tak?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARiF merupakan jentera utama Harapan Baru di dalam membantu kelancaran gerakerja semua peringkat.

Kami ARiF Melaka memerlukan sumbangan dan bantuan kewangan daripada tuanpuan untuk kami melakukan gerakerja berkenaan. Oleh kerana kami masih baru, sumbangan diperlukan untuk menampung kos pakaian, membeli peralatan komunikasi, peralatan lalulintas dan sebagainya.

Kami amat berbebsar hati jika tuan/puan dapat menghulurkan sumangan kepada kami. Segala sumbangan diserahkan kepada pemegang amanah ARiF Melaka.

MOHD AZWAN AHMAD
a/k Maybank : 104013154427

Hantarkan makluman bank-in melalui SMS/WA ke 016-981 1315 (H.ANUAR)

Semuga Allah membalas segala jasa baik tuan/puan semua.