Sewaktu Muktamar di Ipoh baru-baru ini, sekelian ahli dan perwakilan PAS telah diingatkan acapkali betapa mereka harus taat kepada arahan Majlis Syura Ulama dan tidak boleh engkar.
Peringatan ini adalah lantaran timbul perasaan tidak senang dengan beberapa pimpinan PAS Pusat yang telah mengadakan muzakarah secara rahsia dengan UMNO. Pemimpin-pemimpin tersebut menggunakan alasan bahawa tindakan mereka adalah atas arahan Majlis Syura Ulama PAS.
"Pemimpin PAS bertemu dengan pimpinan Umno adalah restu daripada Majlis Syura Ulama. Dan rundingan yang diadakan bukan untuk mendapatkan kerusi atau jawatan.
"Tetapi apa yang kita lakukan untuk memastikan mereka menerima Islam," katanya pada perasmian muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-49 di Stadium Indera Mulia, di sini, malam tadi. “
Kebenaran dakwaan tersebut, ataupun kewujudan dakwaan tersebut telah saya perbahaskan dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk “Benarkah Majlis Syura PAS Pusat Menyokong Perbincangan Dengan UMNO”
Soalnya sekarang, benarkah Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa untuk membenarkan pertemuan dengan UMNO tersebut?
Perkara yang membuatkan ramai orang keliru adalah walaupun pada mulanya para pimpinan habisan mengatakan tentang perlunya taat kepada Syura, namun sewaktu perjalan Muktamar telah berlaku satu peristiwa yang seolah menafikan arahan tersebut.
Peristiwa tersebut adalah pembawaan usul tergempar oleh Wakil Dewan Ulama, Dr Khairuddin. Yang mana, Wakil Dewan Ulama itu telah mengusulkan supaya Majlis Syura Ulama PAS diberikan kuasa menentukan hala tuju parti?
Mengapa saya kata usul Dewan Ulama PAS ini pelik? Ini kerana Dewan Ulama PAS telah membuktikan kepada kita bahwa Majlis Syura Ulama PAS tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju parti.
Kuasa tersebut terletak di tangan AJK Kerja PAS Pusat yang mana ahlinya dipilih oleh ahli-ahli PAS. Dengan kata lain, Majlis Syura Ulama tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan atau membenarkan sebarang pertemuan atau perbincangan atas nama parti dengan mana-mana pihak.
Ertinya, sekiranya berlaku juga, dan ianya tidak diketahui oleh AJK PAS Pusat bererti ianya telah melanggar disiplin parti.
Tak hairanlah, Pengerusi Majlis Syura sendiri tidak mengetahui akan keputusan ini.
Setahu saya mengikut Perlembagaan PAS, yakni di Fasal 7 (3) Perlembagaan Pas menyatakan bahawa fungsi dan peranan Majlis Syura Ulamak adalah seperti berikut:
(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan Dasar Pas.
(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi.
(c) Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib Pas.
Ertinya, di dalam hal berkaitan strategi dan hala tuju, ianya terletak di tangan AJK Kerja PAS PUsat dan bukannya Majlis Syura PAS Pusat.
Lagi pula ucapan Presiden PAS sewaktu Muktamar PAS juga membuktikan perkara ini:
“…menempuh proses perbincangan, penghujahan dan diperhalusi menerusi
Jawatan-kuasa Politik dan Jawatankuasa Pas Pusat dan diputuskan oleh
Majlis Syura Ulamak”
(ms 6, Buku Ucapan Dasar Presiden).
“…Majlis Syura Ulamak akan mengkaji sesuatu situasi yang berlaku dengan
berdasarkan kepada Hukum Islam dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pula
yang akan merancang strategi parti” (ms 7, Buku Ucapan Dasar Presiden).
Dari Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden ini jelaslah bahawa Majlis Syura Ulamak, pada hakikatnya, tidak wajar mengambilalih tugas dan fungsi Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Keputusan Syura Pada April 2004
Kalau kit abaca laman blog AntiHusam, di nyatakan oleh blog tersebut kononnya Husam Musa telah melanggar arahan Syura. Blog tersebut meletakkan pernyataan berikut di sebelah kanan sekali blog tersebut:
Keputusan Majlis Syura Ulama PAS "Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 23 April, 2008 mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia."
Soalnya sekarang, sekiranya keputusan ini wujud sekalipun, keputusan siapakah yang telah memilih Cikgu Mustafa Ali sebagai mewakili PAS dalam perbincangan dengan UMNO?
Mustafa Ali bukan Presiden, Timbalan Presiden ataupun Setiausaha Agung. Yang lebih menghairankan mengapa pertemuan dengan UMNO tersebut tidak langsung diketahui oleh Setiausaha Agung PAS Pusat sedangkan beliau lah sepatutnya terlibat dalam pertemuan ini.
Juga, keputusan ini Syura ini hanya “merestui” sahaja dan mengikut Perlembagaan PAS Pusat, seharusnya perjalanan tindakan muzakarah ini dilaporkan serta dipantau oleh AJK Kerja PAS Pusat.
Jadi, tak hairanlah kalau ada orang yang mempersoalkan kewujudan keputusan Syura ini.
Penutup
Dari penghujahan di atas jelaslah bahawa keputusan untuk mengadakan perbincangan ataupun muzakarah dengan mana-mana pihak adalah terletak dalam bidang kuasa AJK Kerja PAS Pusat.
Sekiranya ada pun arahan dari Majlis Syura PAS Pusat, perkara itu mestilah dirujuk kepada AJK Kerja PAS Pusat dahulu sebelum dilaksanakan.
Maklumat yang saya dapat, AJK Kerja PAS Pusat hanya mengetahui perbincangan dengan UMNO dan Pak Lah hanya apabila Perdana Menteri mendedahakan wujud perbincangan di media perdana.
Dan apabila bertemu pun, tiada dokumen bertulis di dalam bentuk minit mesyuarat yang dibentangkan
Malahan, Ketua Penerangan PAS Pusat sendiri terpaksa menulis kenyataan memohon maaf di atas kenyataan beliau sebelumnya yang menafikan wujud apa-apa perjumpaan.
Tidak hairanlah Tok Guru Nik Aziz sendiri telah menentang keputusan tersebut secara terbuka dan dilaporkan di dada-dada akhbar. Inilah akibatnya apabila pimpinan sendiri tidak mengikut disiplin jemaah. Akhirnya berlaku lah perpecahan sesama ahli.
Saya amat takut dan risau kerana ini bermakna Majlis Syura Ulama PAS Pusat mudah terdedah kepada salah guna kuasa dan perlanggaran disiplin parti. Semoga pendedahan saya ini dapat membetulkan mana-mana kelemahan di dalam pentadbiran PAS.
Tulang Besi
.